Friday, May 24, 2019

Sambungan cerpen Menjemput Rezeki di Mekah.

Wang yang mereka peroleh hasil daripada pekerjaan yang dilakukan tersebut, mereka simpan didalam bank untuk dijadikan modal untuk membuka perniagaan di Malaysia kelak. Mereka berazam, apabila sudah cukup target, mereka ingin pulang ke Malaysia. Mereka sangat berjimat-cermat menggunakan wang. Mereka masak dirumah sahaja setiap hari dan jarang membeli makanan atau makan dikedai.
Setelah hampir 6 tahun merantau dan bekerja di kota suci Mekah, Hussin dan Ali berhasrat untuk pulang ke Malaysia. Sudah cukup banyak ilmu perniagaan yang ditimba oleh mereka. Mereka ingin pulang semula ke tanah air dan meneruskan perniagaan visa haji dan umrah mereka yang terhenti selama beberapa tahun itu. ‘Ammu Salleh juga mempelawa mereka supaya menjadi rakan kongsinya dan membuka pasaraya yang menjual makanan sunnah seperti kurma, kismis, badam, madu dan banyak lagi makanan sunnah yang lain.
Setelah bersetuju untuk pulang ke Malaysia, ‘Ammu Salleh membantu menguruskan tiket penerbangan Hussin dan Ali secepat mungkin. Selama mereka di Mekah, ‘Ammu Salleh lah yang menguruskan visa dan berurusan dengan imigresen setiap kali visa mereka tamat tempoh. Dari situlah mereka belajar prosedur yang betul untuk menguruskan visa untuk keluar, masuk dan menetap di negara itu. ‘Ammu Salleh ialah seorang rakan baik bapa Hussin dan bapa Ali yang sudahpun menjangkau usia 64 tahun, tetapi tubuh badannya masih sihat dan kuat untuk menjalankan perniagaan.
Terasa sebak didada mereka ketika ingin meninggalkan tanah suci tempat mereka mencari rezeki dan menunaikan ibadat setiap hari. Disinilah mereka mengumpul wang sebagai modal untuk meneruskan perniagaan mereka yang sudah lama ditinggalkan di Malaysia. Semakin murah rezeki mereka disini apabila hampir setiap hari mereka dapat solat berjemaah didalam Masjidil Haram dan menatap kaabah yang suci. Mereka amat bersyukur kepada tuhan sekalian Alam, Allah swt yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana mengurniakan kepada mereka rezeki untuk tinggal disini selama beberapa tahun.
Setelah hampir 8 jam perjalanan menaiki kapal terbang Emirates Airline, tibalah masanya kapal terbang itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Hussin dan Ali sangat teruja ketika menjejakkan kaki di bumi Malaysia yang tercinta selepas bertahun lamanya tidak bersua. Apa khabar agaknya bekas isteri dan anak-anak Hussin di Kajang, Selangor. Ali sungguh tidak sabar untuk berjumpa ibu dan ayahnya dikampung, dia ingin mencium tangan dan memeluk erat kedua orang tuanya itu. Terasa rindu akan masakan ibunya dikampung, kokokan ayam pada waktu subuh, dan angin bendang sepoi-sepoi bahasa pada petang hari.
Manakala Hussin, masih ligat berfikir bagaimana dia hendak berjumpa dengan anak-anaknya yang masing-masing sudah berusia 8 tahun, 7 tahun dan yang bongsu berusia 6 tahun. Kali terakhir dia melihat wajah anak sulungnya ketika dia baru mula bertatih, puteri keduanya masih baru belajar merangkak dan yang bongsu itu masih merah lagi kulitnya. Pilu rasa hatinya mengenangkan hari terakhir dia bersama bekas isterinya, juga merupakan hari terakhir ibu dan ayahnya melihat dunia.
  Kini, dia sudah tidak ada siapa-siapa. Cuma adik bongsunya yang tinggal bersama abang sulungnya di Taiping, Perak. Mesti adik perempuannya itu sudah membesar menjadi anak dara yang cantik seperti arwah ibunya, Mereka berketurunan banjar. Berkulit licin dan putih gebu. Kata orang, kulit orang banjar licin kerana selalu makan belut. Hussin tersenyum sendiri apabila dia cuba membayangkan wajah adik bongsunya itu. Dia sudah dapat idea. Dia ingin pulang ke Perak terlebih dahulu kerana dia ada hadiah untuk adik bongsunya dan anak saudaranya di Perak. Selepas itu, baru dia bercadang untuk datang semula ke Selangor untuk berjumpa dengan anak-anaknya.
Setelah beberapa minggu di kampung, Hussin tergerak hati untuk ke Selangor untuk mencari rumah sewa dan terus mencari peluang pekerjaan disana. Dia hendak mencari ruang pejabat untuk disewa ataupun rumah kedai yang kosong yang membolehkan dia memulakan urusan membuat visa haji dan umrahnya. Sampai sahaja disana, dia terus menelefon rakan-rakannya yang tinggal di Kuala Lumpur dan Selangor kerana kebanyakan mereka adalah ahli perniagaan yang mempunyai banyak aset seperti rumah atau pejabat untuk diberi sewa.
Mujur ada seorang kawannya iaitu Tajudin yang tinggal di Kajang ada sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Cheras. Katanya penyewa rumah itu baru sahaja keluar dari rumah itu kerana dapat berpindah tempat kerja ke Sabah. Jadi, Tajudin sangat mengalu-alukan Hussin untuk menyewa dirumahnya itu. Dia juga mempelawa Hussin untuk memulakan perniagaan di sekitar kawasan pejabatnya. Dia berjanji akan mencari sebuah rumah kedai untuk dijadikan pejabat operasi bagi menjalankan perniagaan visa yang Hussin impikan.
Tajudin merupakan anak kelahiran Pulau Pinang. Dia melihat kesungguhan Hussin untuk berjaya dalam perniagaannya. Setelah beberapa bulan menjalankan perniagaan tersebut, Hussin mula mendapat pelanggan tetap daripada banyak ejen yang menawarkan pakej umrah. Hussin juga sudah mula mengimport kurma dan pelbagai jenis makanan sunnah dari Mekah untuk dijadikan pendapatan sampingannya. Ali juga sudah mula membuka perniagaan yang sama sebagi rakan kongsi Hussin di Kuala Lumpur. Pejabatnya di kawasan Masjid India yang merupakan tumpuan pelancong-pelancong dari pelbagai Negara. Manakala, pejabat Hussin terletak di pekan Ampang, Selangor.
Tajudin mula tertarik dengan sikap Hussin yang sangat optimis untuk mencapai cita-citanya. Dia mula bertanyakan kepada Hussin sama ada ingin mencari teman hidup atau tidak. Dia ingin menjodohkan Hussin dengan anak saudaranya yang sudah berusia 30 tahun tetapi masih belum pernah berkahwin. Anak saudaranya itu tinggal di Pulau Pinang dan masih tidak mempunyai calon suami. Jadi, Tajudin tidak segan silu untuk menjodohkannya dengan Hussin yang juga belum berteman itu. Hussin hanya tersenyum dan berkata bahawa dia akan berfikir dahulu tentang perkara ini.
Seminggu kemudian, setelah habis berfikir Hussin pun memberikan jawapan kepada Tajudin bahawa dia ingin berjumpa dengan anak saudara Tajudin yang bernama Anis. Anis pun datang ke Selangor dan tinggal dirumah bapa saudaranya. Malam itu, mereka berjanji untuk berjumpa selepas isyak ditemani oleh ibu saudara dan bapa saudara Anis. Mereka solat berjemaah di sebuah masjid di Kajang yang terletak berhampiran dengan rumah Tajudin.  Selesai solat isyak berjemaah, mereka pun berjumpa di Restoran Sate Kajang Hj. Samuri buat kali pertama.
Oleh kerana kedua-duanya nampak serasi, Tajudin pun mengatakn bahawa dia sangat setuju jika mereka hendak berkahwin. Itu pun jika tuan punya badan setuju. Hussin sudah bersetuju, tetapi Anis masih mahu diberi masa untuk dia berfikir tentang masa depannya itu. Lama Hussin menunggu jawapan dari Anis, hampir dua purnama. Akhirnya Anis bersetuju hendak menjadi isteri kepada Hussin yang merupakan duda yang sudahpun mempunyai 3 orang anak.
Selepas beberapa bulan mereka berkahwin, perniagaan Hussin pun semakin banyak memperoleh keuntungan. Kata rakan-rakannya, mungkin kerana dia sudah bahagia, jadi dia semakin bersemangat untuk menjalankan perniagaannya. Ali dan Tajudin juga turut menyakat Hussin yang baru hendak merasa kasih-sayang seorang isteri itu.
Anis sangat bersopan-santun dalam tingkah laku dan bicaranya, bijak menguruskan segala hal dirumah, pandai memasak dan yang paling penting amat setia dan hormat kepada suami. Mungkin itulah sikap yang diterapkan oleh ibu dan ayahnya di kampung sejak kecil lagi. Orang kampung memang kena pandai memasak, kalau tidak pandai tak boleh berkahwin. Dia sanggup berhenti kerja sebagai guru tadika di kampungnya semata-mata untuk mengikut suaminya ke Kuala Lumpur untuk berniaga. Padahal Hussin sudah memberikan keizinan untuk dia tinggal bersama keluarganya dikampung dan bekerja disana. Oleh sebab dia ingin memudahklan urusan suaminya, dia sanggup untuk berhenti bekerja. Jika dia tinggal di Pulau Pinang, setiap minggu Hussin perlu pulang ke kampung untuk menjenguknya.
Apabila Hussin sedar yang dia sudah berkemampuan, dia pun memberanikan diri untuk berjumpa dengan bekas isteri dan ibu mertuanya. Dia cuma ingin berjumpa dengan anak-anaknya. Dia ingin berkenalan dengan anak-anaknya semula. Tetapi malangnya, bekas ibu mertuanya itu masih tidak mahu berjumpa dengannya. Selepas beberapa kali Hussin meminta kebenaran untuk berjumpa anak-anaknya sendiri, barulah bekas isterinya iaitu Nada membalas mesejnya. Dia memberi syarat bahawa Hussin boleh mengambil anak mereka dan tinggal dirumah Hussin selama 2 hari sahaja kerana ibunya risau Hussin tidak mampu memberi anak-anaknya makan.
Hussin pun mengambil anak-anaknya pada petang Jumaat itu, dia membawa Anis bersama-samanya dan memperkenalkannya kepada Nada. Nada kelihatan tidak senang sekali dengan kehadiran Anis. Begitu juga dengan Mak Minah yang seakan-akan tidak percaya yang Hussin sudah berjaya dan membawa sebuah kereta Mercedes Benz model baru itu ketika berjumpa dengan mereka buat pertama kali selepas beberapa tahun tidak bersua. Mak Minah sangat terkejut ketika Hussin memperkenalkan Anis sebagai isterinya. Mak Minah tidak menyangka bahawa ada juga anak gadis yang akan menjadi pengganti kepada anaknya di hati Hussin kerana setahunya, Hussin hanya mencintai Nada seorang sahaja.
Selepas hampir satu jam berkenalan dengan anak-anaknya, Hussin membawa  mereka pulang ke rumahnya untuk tinggal disana selama 2 hari. Anis sangat senang dengan kehadiran ketiga-tiga anak Hussin itu kerana rumah mereka sungguh sunyi selama ini kerana tiada suara kanak-kanak. Anis juga sebenarnya sudah mengandung 3 bulan, tetapi dia belum memberitahu suaminya. Dia ingin membuat kejutan sempena ulangtahun kelahiran suaminya beberapa hari sahaja lagi.
Hussin sangat gembira apabila mendapat berita bahawa isterinya, Anis mengandungkan anak sulung mereka yang merupakan anak Hussin yang keempat. Hussin berjanji akan menjaga Anis sebaik mungkin sepanjang tempoh 9 bulan 10 hari tersebut. Dia juga ingin membawa Anis untuk menunaikan umrah buat kali pertama sebagai suami isteri pada tahun yang sama sebelum Anis melahirkan anak sulung mereka. Dia juga berhasrat untuk memperkenalkan isterinya itu kepada ‘Ammu Salleh di sana nanti. Kini kehidupan Hussin dipenuhi dengan sinar kebahagiaan.
Selepas setahun melahirkan puteri sulung mereka, kini Anis bakal melahirkan cahaya mata kedua mereka. Anis sangat teruja kerana kata doktor, cahaya mata yang bakal dilahirkan itu adalah seorang putera. Dia seronok kerana bakal memiliki sepasang cahaya mata walaupun suaminya tidak dapat menemaninya di hospital kerana ada urusan di luar negara.
Perniagaan Hussin semakin maju dan keuntungannya semakin meningkat saban tahun. Dia sudahpun membuka sebuah pasaraya menjual makanan sunnah dan barangan kelengkapan haji dan umrah di Ampang.
Mohd Hussin bin Abdullah, namanya sudah mula meningkat naik setelah beberapa tahun menjalankan perniagaan. Perniagaan Umrah dan Haji yang dijalankan sejak 2 dekad lalu telah berjaya menempah nama di peringkat Antarabangsa setelah berita tentang kegigihan pemilik syarikat itu tular di media sosial dan di akhbar-akhbar tempatan pada bulan lepas. Atas kegigihan dan keazaman yang sangat kuat, Hussin telah berjaya menjemput rezeki di Mekah.

No comments:

Post a Comment

BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER

  BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER Hai semua! Assalamualaikum! Selamat sejahtera! Assalamualaikum juga kepada Prof. Dr No...