Friday, May 24, 2019

Cerpen Pertama : Menjemput Rezeki Di Mekah.

Inilah cerpen pertama saya yang bertajuk 'Menjemput Rezeki Di Mekah'

MENJEMPUT REZEKI  DI MEKAH

Mohd Hussin bin Abdullah ialah seorang ahli perniagaan yang mempunyai seorang isteri dan 5 orang anak. 2 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki hasil perkahwinannya yang terdahulu bersama bekas isterinya, manakala perkahwinannya yang kedua bersama isterinya yang sekarang ini telah dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu seorang putera dan seorang puteri. Bekas isterinya merupakan Penolong Pegawai di Perpustakaan Negara Malaysia, mempunyai pendapatan yang kukuh dan lebih tinggi berbanding Mohd Hussin. Disebabkan itu, perkahwinan mereka tidak direstui oleh bekas ibu mertuanya dan seluruh keluarga bekas isterinya.
 Sewaktu berkahwin, Mohd Hussin baru sahaja memulakan perniagaan membuat visa haji dan umrah secara kecil-kecilan dan hanya beroperasi dirumah dan berbekalkan sebuah laptop. Selepas beberapa tahun, rumah tangga mereka duji dan terus diuji sehingga berlaku penceraian.
Pada hari yang sama selepas mereka berpisah, ibu dan ayah Hussin pergi menghadap Ilahi selepas terlibat dalam satu kemalangan di Bagan Serai, Perak ketika dalam perjalanan ke Selangor untuk melawat menantunya yang baru sahaja melahirkan cucu mereka yang ketiga. Kereta yang mereka naiki terbabas selepas dilanggar oleh sebuah lori tanah dikawasan kampung mereka sendiri. Adiknya yang bongsu berumur 13 tahun ketika itu cedera parah dan dimasukkan ke hospital selama beberapa minggu.
Hussin yang baru lepas berpisah dengan isterinya belum sempat memberitahu khabar itu kepada kedua orang tuanya. Dia terduduk bersujud ketika mendapat berita bahawa ibu dan ayahnya sudah pergi menghadap Ilahi. Perasaan sedihnya tidak dapat digambarkan. Sedih dan pilu menyelubungi dirinya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga selepas dia bercerai dengan isterinya Nada, ibu dan ayahnya pula meninggal dunia.
 Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dilakukankan saat ini. Terasa sahaja ingin menjerit sepuas-puasnya tetapi dia sedar, ini adalah ujian daripada Allah yang Maha Berkuasa. Dia terus bangun dan cuba mencari kekuatannya sendiri. Apabila dia sampai di rumah ibu dan ayahnya, sudah ramai saudara-mara yang berkumpul da nada yang sedang bertungkus-lumus menyediakan kelengkapan pengebumian. Dia terus berlari masuk ke dalam rumahnya untuk melihat wajah ibu dan ayahnya buat kali terakhir. Wajah mereka kelihatan tenang seolah-olah sudah tahu apa yang ingin disampaikan Hussin. Hussin mengesat air mata dipipinya, lantas dia mencium dahi kedua ibu dan ayahnya. Dia sedar, pasti ada hikmah disebalik ujian yang menimpanya ini.
Selepas selesai urusan pengebumian ibu dan ayahnya, Hussin buntu dia harus kemana dan apa yang harus dia lakukan disaat itu. Dia menelefon sahabat baiknya yang tinggal di Selangor. Ali yang juga membuka perniagaan visa umrah dan haji itu menceritakan bahawa perniagaannya juga tidak mendapat keuntungan sejak 5 bulan lalu. Dia juga sudah kehabisan wang simpanan kerana telah digunakan untuk menampung kos overhead pejabatnya seperti bil elektrik, bil internet dan sebagainya.
Ali memberi cadangan kepada Hussin supaya mereka berdua pergi ke Mekah dan bekerja disana memandangkan musim haji bakal tiba sebulan lagi. Mereka boleh bekerja sebagai mutawwif, mengangkat beg jemaah haji masuk ke hotel dan menjadi penunjuk arah kepada Jemaah Malaysia memandangkan mereka pernah menetap disana selama 3 tahun.
Hussin bersetuju dengan cadangan Ali itu memandangkan Ali masih tidak berkeluarga dan dia telah bercerai. Hak penjagaan anak-anaknya diberikan sepenuhnya oleh mahkamah kepada bekas isterinya memandangkan Hussin tiada pendapatan bulanan yang tetap. Dia berjanji pada dirinya sendiri, dia akan buktikan bahawa dia juga mampu berjaya dalam perniagaannya suatu hari nanti dan dia berazam untuk membahagiakan anak-anaknya juga.
Hussin dan Ali memulakan misi mereka untuk ke Mekah. Mereka menaiki kapal terbang Malaysia Airline dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah. Perjalanan selama 8 jam itu dinikmati oleh mereka dengan minda yang tidak berhenti berfikir arah tujuan mereka di sana kelak. Mereka tidak mempunyai wang untuk tinggal di hotel dan makan makanan mewah.
Sampai sahaja di Jeddah, mereka tidur di lapangan terbang sementara menunggu siang. Mereka hanya makan makanan yang dibekalkan didalam pesawat sebentar tadi sahaja. Didalam beg mereka ada sambal ikan bilis yang dibekalkan oleh ibu Ali dari kampung, belacan, garam, gula, kicap dan ikan kering yang telah dibungkus rapi sebelum dimasukkan ke dalam beg tersebut. Ibu Ali berpesan kepada mereka agar berjimat-cermat disana memandangkan bekalan wang mereka hanya cukup-cukup makan sahaja.
Kini, mereka ke Mekah dengan harapan mereka dapat mengutip sebanyak mungkin pengalaman berniaga dari rakan ayah mereka yang tinggal disana sejak kecil. Mereka memanggilnya ‘Ammu Salleh. ‘Ammu dalam bahasa arab membawa maksud Pak Cik. Manakala Salleh ialah nama rakan ayahnya itu. ‘Ammu Salleh menetap di Mekah sejak usianya 7 tahun lagi. Ayahnya berhijrah ke Mekah untuk menjalankan perniagaan. Berbagai-bagai jenis perniagaan yang dicuba oleh ayahnya sehinggalah ayahnya mula membuat perniagaan kurma disana.
Ayahnya bekerja sebagai buruh, mutawwif, berniaga secara kecil-kecilan di perkarangan Masjidil Haram untuk mencari modal bagi memulakan perniagaannya. Apabila wangnya sudah cukup, dia membeli sebidang tanah daripada kenalannya yang merupakan penduduk asal disitu. Dia mula bercucuk tanam disitu, tetapi malangnya setelah beberapa tahun masih belum mendatangkan hasil. Akhirnya, dia mencuba untuk menanam kurma diladangnya.
Setelah sudah banyak wangnya dilaburkan, akhirnya ladang kurmanya sudah membuahkan hasil. Dia mula menjual buah kurmanya kepada jemaah-jemaah yang datang ke Mekah bagi mengerjakan umrah dan haji. Setelah beberapa tahun menjual secara kecil-kecilan, dia cuba menjual secara eksport ke negara-negara luar. Dia mula mengeksport ke Malaysia kerana terdapat ramai saudaranya yang turut menjadi rakan kongsinya di negara tanah tumpah darahnya itu.
Kejayaannya dalam menjalankan perniagaan selepas melalui berbagai onak dan duri itu sangat dikagumi oleh rakan-rakan dan sanak saudaranya di Malaysia. Perniagaan kurmanya itu diserahkan kepada anak lelakinya iaitu ‘Ammu Salleh. Perniagaan itu diteruskan sehingga sekarang dengan jumlah pulangan sangat lumayan setiap tahun. Hussin dan Ali menjadikan ‘Ammu Salleh sebagai idola mereka dalam bidang perniagaan. Walaupun perniagaan itu adalah hasil titik peluh bapanya, tetapi ‘Ammu Salleh juga telah mengharungi pelbagai ranjau yang berliku bagi memastikan keuntungan dan kestabilan syarikat itu. 
Hussin dan Ali boleh bertutur dalam bahasa Arab, tetapi tidak terlalu fasih. Namun kebanyakan orang arab tempatan memahaminya kerana mereka bercakap dalam bahasa arab ‘ammi iaitu bahasa arab pasar atau dialek. Mereka sangat bersyukur kerana semua orang disitu sangat peramah dan membantu mereka untuk untuk mencari alamat ‘Ammu Salleh. Ada yang mempelawa mereka menaiki unta mereka bagi mempercepatkan perjalanan.
Setelah lama perjalanan, akhirnya mereka sampai ke alamat ‘Ammu Salleh. Mereka dipelawa masuk dan dijamu makan nasi. Mereka terus menceritakan hajat mereka berkunjung ke Timur Tengah. Mereka ingin meminta bantuan ‘Ammu Salleh untuk mencarikan mereka pekerjaan kerana mereka berhasrat untuk duduk lama disitu sementara menunggu musim haji tiba. ‘Ammu Salleh yang dengan senang hati menerima kunjungan mereka itu turut mengatakan bahawa sudah tentu dia akan menolong mereka untuk mendapatkan pekerjaan.
Hussin dan Ali bekerja diladang kurma ‘Ammu Salleh selama sebulan. Apabila tiba musim haji, mereka menjadi mutawwif  haji dan membantu memudahkan jemaah-jemaah yang yang  mengerjakan haji menggunakan kerusi roda. Mereka juga mengambil upah untuk membuat badal haji atas permintaan daripada syarikat-syarikat umrah dan haji di Malaysia. Selepas tamat musim haji, mereka kembali bekerja di ladang kurma ‘Ammu Salleh. Ada ketika, ‘Ammu Salleh tidak memerlukan mereka kerana bukan musim kurma berbuah, mereka mencari pekerjaan lain disekitar kawasan itu. Mereka menjadi penjaga kedai, tukang cuci di dalam kawasan Masjidil Haram dan banyak lagi pekerjaan yang mereka lakukan untuk mendapatkan upah.

No comments:

Post a Comment

BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER

  BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER Hai semua! Assalamualaikum! Selamat sejahtera! Assalamualaikum juga kepada Prof. Dr No...