Friday, May 24, 2019

Sambungan Cerpen Gulai Daging Batang Pisang

Aina sangat bersyukur dapat mengenali keluarga Mak Yam dikampung. Kebetulan pula beberapa minggu selepas Aina mula belajar di kolej, tibanya bulan ramadhan. Semasa kolej mengadakan majlis berbuka puasa bersama masyarakat kampung di masjid yang berhampiran, setiap pelajar diberi satu keluarga angkat yang tinggal di sekitar daerah Kuala Nerang. Aina sangat teruja apabila dia mendapat ibu dan ayah angkat yang tinggal di kampung yang sama dengan keluarga Mak Yam.
Ibu dan ayah angkatnya dipanggil pak cik dan mak cik sahaja. Mereka sangat peramah dan begitu mesra menerima Aina sebagai anak angkat mereka. Setiap hujung minggu, pak cik dan mak cik akan menjemput Aina untuk bermalam dirumah mereka memandangkan mereka mempunyai 4 orang anak perempuan, tetapi semuanya sudahpun berkahwin dan tinggal di bandar. Disebabkan itu, mereka begitu teruja untuk mendaftarkan diri di Program Anak Angkat anjuran Kolej Mara Kuala Nerang. Tahun ini merupakan kali pertama mereka mendaftar untuk program ini dan sangat bersyukur kerana dapat berkongsi kasih-sayang dengan Aina yang belum pernah merasai kehidupan di kampung.
Kampung Masjid Lama, Kuala Nerang, Kedah merupakan kampung yang sangat mendamaikan. Pada mulanya, Aina langsung tidak faham bahasa yang dituturkan oleh orang di kampung ini, tetapi lama-kelamaan dia sudah boleh tangkap sedikit apa yang mereka ingin sampaikan. Dialek Kedah hulu yang dituturkan oleh mereka seakan-akan dialek Kelantan tetapi sedikit berbeza seperti molek (elok), aku (ku), engkau (mu), air (ei), balik (kelik), tak mboh (tak mahu), tak tu dey (tak tahu) dan banyak lagi perkataan-perkataan yang berbeza daripada bahasa baku.
Ibu dan ayah angkat Aina berhasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran sempena mereka mendapat tawaran untuk menunaikan Haji pada tahun ini dan kenduri perpisahan untuk Aina yang bakal menamatkan pengajiannya di peringkat asasi di Kolej Mara Kuala Nerang. Mereka sangat berterima kasih kepada Allah kerana telah menjawab doa-doa mereka selama ini. Mereka bersyukur kerana selepas mereka menjaga Aina, rezeki mereka semakin melimpah-ruah dan rezeki tersebut datang secara tidak disangka-sangka.
Mereka telah berjanji untuk menjemput Aina pada petang hari Khamis minggu itu. Aina dengan rasa senang hati, menunggu kehadiran pak cik dan mak cik datang menjemputnya petang itu. Dia membawa bersama beberapa helai baju kurung untuk dipakai di rumah mereka sempena kenduri kesyukuran nanti. Apabila Aina sampai di perkarangan rumah, dia melihat beberapa batang pokok pisang yang telah ditebang, dia pelik kenapa mereka menebang pokok pisang itu.
“Pak cik, kenapa mereka tebang pokok pisang ini dan meletaknya di rumah pak cik?” , Aina terus bertanya kepada pak cik kerana dia musykil. “Oh, itu untuk masak gulai daging batang pisang. Nanti boleh lah Aina tengok cara orang kampung bergotong-royong untuk masak gulai daging batang pisang”, kata pak cik kepada Aina.
Pak cik dan mak cik memperkenalkan Aina kepada orang kampung dan mereka sangat senang hati melihat Aina yang peramah dan mudah mesra dengan orang kampung disitu. Dia seronok melihat orang kampung bekerjasama menyiapkan perkakas dan bahan-bahan untuk memasak pada esok petang. Periuk, belanga, senduk, kawah dan kayu api sudah siap tersusun di luar rumah pak cik. Mereka akan mula merewang pada petang hari Jumaat selepas solat Asar. Menurut seorang penduduk kampung yang bersembang dengan Aina, mereka akan merewang dari petang sampai ke tengah malam hari Jumaat dan ada diantara penduduk kampung yang ditugaskan untuk menjaga kawah dan periuk yang berisi lauk-pauk supaya tidak di ganggu oleh haiwan.
Pada pagi hari Jumaat, orang perempuan datang ke rumah pak cik untuk mengupas bawang, memotong cili, mengisar halia dan menyediakan bahan-bahan untuk masak pada petang nanti. Uniknya masyarakat disini ialah tukang masak ialah orang lelaki dan yang perempuan hanya perlu menyediakan bahan-bahan sahaja. Aina begitu teruja untuk melihat cara-cara untuk memasak gulai daging bersama batang pisang.
Seorang penduduk kampung yang dikenali sebagai Pak Mud, merupakan tukang masak untuk kenduri di kampung itu dan kadang-kadang ada juga penduduk kampung lain yang menjemputnya masak untuk kenduri di kampung mereka. Pak Mud seorang yang sangat peramah dan Aina mengambil peluang untuk bertanyakan resipi gulai daging batang pisang kepadanya. Pak Mud menghulurkan sebuah buku kepada Aina, dan tertera ‘Resipi Gulai Daging Batang Pisang’ di halaman pertama buku itu.
Resipi Gulai Daging Batang Pisang
Bahan-bahannya :
500 g daging - dipotong kiub. Lagi sedap kalau yang ada lemak-lemak sikit.
empulur batang pisang - dipotong 1 inci panjang dan dibuang tali-talinya, terus rendam dalam air untuk mengelakkan ia jadi lebam. (seelok2nya guna batang pisang hutan atau batang pisang awak)
1 cawan santan pekat
3 cawan air
1 sudu makan kesrisik
1 peket kecil rempah kari daging
2 pelepah daun kari
Bahan Tumbuk:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar


Cara Memasak:
Panaskan sedikit minyak dalam periuk. Tumis bahan tumbuk hingga wangi.
Masukkan daun kari dan rempah kari yang sudah dicampurkan sedikit kepala santan hingga menjadi pes. Tumis hingga pecah minyak.
Masukkan daging, gaul rata dan masak hingga keluar air daging.
Masukkan santan, air, batang pisang dan kerisik. Gaul rata dan biarkan masak hingga daging empuk.
Masukkan garam dan sedikit serbuk perasa. Masak lagi sebentar. Sedia untuk dihidangkan.

Selesai sahaja kenduri di rumah pak cik dan mak cik, mereka menghantar Aina pulang ke kolej. Tinggal lagi seminggu sahaja sebelum Aina tamat belajar di kolej tersebut. Sudah hampir setahun dia belajar disitu dan pelbagai pengalaman dapat dia kutip disitu. Berat hati dia mahu meninggalkan tempat itu kerana pengalaman yang dia dapat disitu telah mematangkannya. Dia telahpun meneroka ke seluruh daerah itu dan kini dia tahu banyak tempat di Kedah.
Hari terakhirnya di Kolej Mara Kuala Nerang, ibu dan ayahnya datang untuk menjemputnya pulang ke Kuala Lumpur tetapi sebelum itu, mereka singgah di Kampung Masjid Lama dahulu untuk berjumpa dengan keluarga Mak Yam dan keluarga angkat Aina untuk mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih kerana telah melayan Aina seperti anak mereka sendiri selama lebih kurang setahun itu. Aina sangat bersyukur kerana impiannya untuk merasai pengalaman tinggal di kampung telah tertunai.

No comments:

Post a Comment

BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER

  BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER Hai semua! Assalamualaikum! Selamat sejahtera! Assalamualaikum juga kepada Prof. Dr No...