Friday, May 24, 2019

Cerpen Gulai Daging Batang Pisang

GULAI DAGING BATANG PISANG

Aina merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Dia dan keluarganya tinggal di Kuala Lumpur.. Apabila tamat pengajian di peringkat menengah, iaitu setelah selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berhasrat untuk bekerja sambilan sementara menunggu keputusan SPM diumumkan dan keputusan penempatan untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi keluar. Malangnya nasib Aina, ibu dan ayahnya tidak membenarkan dia keluar bekerja. Sebaliknya diarahkan supaya duduk dirumah sahaja bersama pembantu rumahnya iaitu Mak Yam. Dia ditugaskan untuk menuntut ilmu memasak daripada Mak Yam dan membantunya mengemas rumah banglo agam itu.
Jauh disudut hati Aina, dia ingin melihat bagaimana keadaan dunia diluar sana, bagaimana caranya untuk berdikari menggunakan wang hasil pekerjaan sendiri dan bagaimana susahnya bekerja dan mengumpul wang untuk membeli sesuatu yang dingini. Selama ini hidupnya hanya bersama Mak Yam dirumah dan disekolah hanya sebentar bersama kawan-kawannya. Kemudian pada setiap hujung minggu, dia hanya tinggal dirumah untuk menyiapkan kerja rumah dan pada hari Ahad, biasanya ibu dan ayah akan membawanya pergi berisar-siar di taman atau di pasaraya jika ada barangan keperluan untuk dibeli. Masanya banyak dihabiskan dirumah sahaja.
Guru-gurunya selalu berpesan supaya setiap murid belajar berdikari selepas tamat SPM kerana itu adalah sebagai persediaan untuk menghadapi dunia selepas sekolah dan dunia pekerjaan kelak. Kebanyakan kawan Aina semuanya telah bekerja sambilan selepas tamatnya SPM tempoh hari kerana mereka kebanyakannya datang daripada keluarga yang sederhana dan mempunyai bilangan adik-beradik yang ramai. Jadi, ibu bapa mereka sangat menggalakkan mereka untuk bekerja sambilan, sama ada untuk membantu menampung keperluan keluarga atau untuk membeli barangan yang mereka impikan selama ini. Sebagai contoh, telefon bimbit yang canggih dan mencapai harga ribuan ringgit ataupun mereka ingin membeli komputer riba dan sebagainya yang tidak mampu dibeli menggunakan duit ibu dan ayah mereka sepenuhnya.
Lain pula dengan Aina, semua yang dia inginkan akan diberikan oleh ibu dan ayahnya hanya dalam masa beberapa hari selepas dia membuat permintaan. Kadang-kadang ibunya sibuk di pejabat sehingga tidak ada masa untuk keluar membeli barangan yang dipinta, tetapi ibunya membeli secara atas talian dan di pos terus ke rumah. Biasanya barang-barang itu akan sampai dalam masa dua atau tiga hari sahaja. Aina selalu bersyukur kerana ibu dan ayahnya tidak pernah mengabaikan permintaannya.
Tetapi kini Aina sangat cemburu dengan rakan-rakannya yang bekerja dan bergaul dengan masyarakat luar. Mereka lebih banyak pengalaman hidup berbanding Aina yang hanya tinggal dirumah sahaja. Dia selalu mengikuti perkembangan rakan-rakannya di media sosial dan melihat pelbagai cara rakan-rakannya meneruskan kehidupan selepas SPM.
Dari kecil, Aina hanya tahu berbual dengan Mak Yam dan dia sendiri merasakan bahawa tidak banyak patah perkataan yang keluar dari mulutnya setiap hari. Dia tak tahu mahu berbual apa dengan Mak Yam, sehinggalah suatu hari Mak Yam membuka mulut dan bercerita tentang suasana kampung halamannya di Kedah. Mak Yam berasal dari sebuah kampung yang terpencil di hulu Kedah, namun kawasan tersebut sudahpun membangun setelah banyak institusi-institusi kerajaan dibangunkan disana. Mak Yam dan keluarganya tinggal di Kampung Masjid Lama, Kuala Nerang, Kedah.
Mak Yam banyak menceritakan perihal kampungnya kepada Aina dan semestinya Aina sangat terpesona dengan keindahan kampung yang mempunyai adat dan budaya yang unik itu. Kata Mak Yam, di pekan Kuala Nerang sekarang sudah ada institusi pengajian tinggi iaitu Kolej Mara Kuala Nerang yang menempatkan lebih daripada 500 orang pelajar dan staf. Kolej itu terletak hanya 20 minit daripada kampung Mak Yam. Semua sanak-saudara Mak Yam tinggal disana termasuklah adik dan abangnya. Adik perempuannya sudahpun berkahwin dan mempunyai 3 orang anak yang salah seorangnya juga pernah menjadi pelajar di Kolej Mara Kuala Nerang. Abangnya yang sudah berusia 51 tahun itu mempunyai 5 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Mak Yam sudahpun mencecah umur 49 tahun tidak tetapi dia belum mahu berkahwin kerana dia ingin mencari wang di kota Kuala Lumpur dan berjanji akan mengirimkan separuh daripada gaji yang diterimanya itu kepada ibu dan ayahnya di kampung.
Mak Yam berhijrah ke Kuala Lumpur sejak berumur 30 tahun lagi selepas dia berhenti bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Pulau Pinang. Dia menawarkan khidmat mencuci dan mengemas rumah sejak beberapa tahun yang lalu disamping dia berniaga makanan di sekitar pekan Ampang dan Kuala Lumpur. Dia membuat banyak pekerjaan dalam masa satu hari sehinggalah usianya mencapai 40 tahun.
Ibu Aina merupakan pelanggan setianya yang sentiasa menempah perkhidmatannya sebanyak 2 kali seminggu iaitu pada hari Ahad dan Rabu. Suatu hari, ibu Aina mempelawa Mak Yam untuk bekerja dirumahnya. Mak Yam akan diberikan satu bilik khas dan Mak Yam masih dibenarkan untuk keluar berniaga jika dia mahu pada waktu petang sehingga waktu Aina pulang dari sekolah.
Oleh kerana gaji yang dijanjikan oleh ibu Aina itu sesuai dan agak lumayan juga, Mak Yam bersetuju untuk bekerja dirumah Aina. Tetapi apabila usianya sudah meningkat, dia sedar yang dia sudah tidak larat untuk melakukan banyak kerja dalam satu masa. Dia sudah berhenti daripada berniaga dan hanya bekerja dirumah banglo itu sahaja. Namun, separuh daripada gajinya itu tetap dia hantar ke kampung untuk kegunaan ibu dan ayahnya disana. Mak Yam seorang anak yang sangat baik.
‘Sebenarnya kebiasaan kami disana memang begitu, jika dalam sebuah keluarga, ada seorang anak lelaki atau perempuan yang keluar dari kampung dan bekerja di bandar, keluarga tersebut akan dikenali sebagai keluarga yang berada dan tanggungjawab Mak Yam ialah untuk bekerja keras dan menghantar wang setiap bulan untuk menampung kehidupan seharian mereka disana’’, cerita Mak Yam kepada Aina. Terlopong mulut Aina mendengar penerangan daripanya.
Begitulah setiap hari, Aina akan bertanya kepada Mak Yam tentang kampung tempat kelahirannya yang unik itu. Nampaknya Aina sudah jatuh hati dengan suasana kampung yang dikhabarkan oleh Mak Yam itu. “Mak Yam, boleh tak Aina nak cuba mohon sambung belajar di Kolej Mara Kuala Nerang?”, “Sudah tentulah boleh, Aina. Cuba kamu lihat tarikh untuk membuat permohonan sudah terlepas atau belum?”. “Baiklah Mak Yam”.
Aina sudahpun membaca dan membuat kajian melalui internet. Melalui setiap pembacaannya itu, dia dapat mengetahui tempat-tempat didalam daerah itu. Dia juga telah membaca blog-blog yang ditulis berdasarkan pengalaman pelajar-pelajar yang pernah menuntut di Kolej Mara Kuala Nerang sendiri dan perantau-perantau yang tinggal di daerah itu.
Selepas berbincang dengan ibu dan ayahnya, Aina terus mengisi borang permohonan kemasukan ke Kolej Mara Kuala Nerang. Kolej Mara Kuala Nerang merupakan institusi pendidikan dibawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menjalankan program asasi untuk institut pengajian tinggi awam dan swasta. Disitu terdapat dua jurusan pengajian diperingkat asasi iaitu asasi sains dan asasi kejuruteraan dan program matrikulasi perakaunan Kementerian Pelajaran Malaysia. Aina membuat permohonan di bahagian asasi perubatan memandangkan cita-citanya ingin menjadi doktor.
Selepas beberapa bulan keputusan SPM diumumkan, keputusan kemasukan ke institusi-institusi pengajian juga diumumkan. Aina sangat teruja selepas mengetahui permohonannya diluluskan dan dia bakal mendaftar di Kolej Mara Kuala Nerang sebagai pelajar asasi sains pada bulan Jun tahun itu. Mak Yamlah orang yang paling gembira apabila mendengar khabar tersebut. Mak Yam akan memperkenalkan keluarga majikannya itu kepada keluarganya di kampung dan dia juga berjanji akan menguruskan tempat tinggal sementara mereka apabila mereka tiba di Kedah nanti.
Ibu dan ayah Aina juga turut gembira kerana selama ini Aina tidak pernah merasai pengalaman tinggal dikampung kerana dia dibesarkan sepenuhnya di bandar. Datuk dan nenek Aina juga berasal dari bandar. Mereka bersyukur kerana impian Aina untuk belajar di Kedah tercapai. Aina begitu bersemangat menyiapkan perkakasan dan keperluan untuk mendaftar di kolej nanti. Dia sudah bersedia bersama dua buah bagasi dan satu kotak berisi buku rujukan.

No comments:

Post a Comment

BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER

  BBN3402SATU2020: PENTERJEMAHAN BERBANTUKAN KOMPUTER Hai semua! Assalamualaikum! Selamat sejahtera! Assalamualaikum juga kepada Prof. Dr No...